DITURUNKAN DI MADINAH
Surah Al-Maidah adalah surah yang ke 5 di dalam Al Quran dan mempunyai 120 ayat. Sekalipun ada ayatnya yang turun di Mekah, namun ayat ini diturunkan selepas Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Madinah, iaitu pada waktu haji wadaa'. Surah ini dinamakan Al Maa'idah (hidangan) kerana memuatkan kisah pengikut-pengikut setia Nabi Isa a.s. meminta kepada Nabi Isa a.s. agar Allah SWT menurunkan untuk mereka Al Maa'idah (hidangan makanan) dari langit (ayat 112). Dan dinamakan Al Uqud (perjanjian) kerana kata itu terdapat pada ayat pertama surah ini dimana Allah SWT menyuruh agar hamba-hamba-Nya memenuhi janji mereka terhadap Allah SWT dan perjanjian-perjanjian yang mereka buat sesamanya. Dinamakan juga Al Munqidz (yang menyelamatkan), kerana akhir surat ini mengandungi kisah tentang Nabi Isa a.s. penyelamat pengikut-pengikut setianya daripada azab Allah SWT.
POKOK-POKOK ISINYA:
1. KEIMANAN: Bantahan terhadap orang-orang yang mempertuhankan Nabi Isa a.s.
2. HUKUM HAKAM: Keharusan menunaikan janji; hukum melanggar syiar Allah SWT; makanan yang dihalalkan dan diharamkan; hukum mengahwini ahli kitab; wudhu'; tayammum; mandi; hukum membunuh orang; hukum mengacau dan mengganggu keamanan; hukum qisas; hukum melanggar sumpah dan kafaaratnya; hukum memburu binatang pada waktu ihram; hukum persaksian dalam berwasiat.
3. KISAH-KISAH: Kisah-kisah Nabi Musa a.s. menyuruh kaumnya memasuki Palestin; kisah Habil dan Qabil, kisah-kisah tentang Nabi Isa a.s.
4. LAIN-LAIN: Keharusan bersifat lemah lembut terhadap sesama mukmin bersikap keras terhadap orang-orang kafir; penyempurnaan Agama Islam pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.; keharusan bersikap jujur dan berlaku adil; sikap dalam menghadapi berita-berita bohong; akibat berkawan rapat dengan orang yang bukan muslim; kutukan Allah SWT terhadap orang-orang Yahudi, kewajipan rasul hanya menyampaikan agama; sikap Yahudi dan Nasrani terhadap orang Islam; Kaabah panduan hidup manusia; peringatan Allah SWT supaya meninggalkan amalan Arab jahiliyah; larangan-larangan terhadap pertanyaan-pertanyaan yang mengakibatkan kesempitan dalam agama.
FADILATNYA:-
1. Ayat 1 dari surah Al Maidah itu mengandungi khasiat untuk menghentikan suatu perbuatan seseorang, baik lelaki mahupun perempuan, yang terjerumus ke dalam lembah yang dikutuk oleh Allah SWT.
"Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang IA kehendaki."
2. Barangsiapa membaca ayat yang ke 7 dari surah ini, sebanyak mungkin selama 3 hari berturut-turut, insyaAllah akan terselamat dari was-was semasa wuduk dan solat.
"Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNYA yang telah diikatNYA dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)". Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada."
3. Baca ayat 54 satu kali kemudian tiupkan kepada makanan yang manis, lantas diberi kepada seseorang yang hendak anda kasihi, atau yang anda ingin agar dia mengasihi anda. InsyaAllah anda memperolehi kasih yang anda dambakan itu.
"Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya."
4. Menghapuskan sifat dusta:- Barangsiapa membaca ayat 89 hingga ayat 101 dari surah ini ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang bercakap dusta, nescaya dia tidak akan bercakap dusta lagi.
5. Ayat 90, 91 dan 92 dari surah Al Maidah mengandungi khasiat untuk menghentikan kebiasaan buruk bagi para peminum minuman yang memabukkan, penjudi, pemakan harta riba, pendusta dan perbuatan maksiat lain pada umumnya.
"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata."
Darimanakah sumber bahan rujukan untuk surah al maaidah ini diperolehi?
ReplyDeleteSalam Anonymous
DeleteMuqaddimahnya dipetik dari "Al Quran Dan Terjemahnya" ;
No 1 dipetik dari buku "Kaifiat dan Khasiat Surah & Ayat Al Quran" ;
No 2 & 4 dipetik dari buku "Himpunan & Fadhilat Ayat-ayat Pilihan" ;
No 3 dipetik dari buku "Merawat Kehidupan dengan Ayat-ayat Al Quran"
Cuma No 5 saya kurang pasti tajuk buku tersebut sebab bukunya dipinjam.
Sekian, terima kasih singgah ke blog saya.