Friday, January 23, 2009

SURAH AT-TAUBAH

9. SURAH AT-TAUBAH / AL-BARAAH (129 ayat) – ‘PENGAMPUNAN / KEBEBASAN’

DITURUNKAN DI MADINAH

Surah At Taubah terdiri atas 129 ayat dan dinamakan At Taubah yang bermaksud pengampunan berhubung kata At Taubah berulang kali disebut dalam surah ini. Dinamakan juga dengan Baraah yang bermaksud berlepas diri yang di sini maksudnya pernyataan pemutusan perhubungan, disebabkan kebanyakan pokok pembicaraannya tentang pernyataan pemutusan perjanjian damai dengan kaum musyrikin. Di samping kedua nama yang masyhur itu ada lagi beberapa nama yang lain yang merupakan sifat dari surah ini.

Berlainan dengan surah-surah yang lain, maka pada permulaan surah ini tidak terdapat basmalah, kerana surah ini adalah pernyataan perang dengan makna bahawa segenap kaum muslimin dikerahkan untuk memerangi seluruh kaum musyrikin, sedangkan basmalah bernafaskan perdamaian dan cinta kasih Allah SWT.

Surah ini diturunkan sesudah Nabi Muhammad s.a.w. kembali dari peperangan Tabuk yang terjadi pada tahun 9 H. Pengumuman ini disampaikan oleh Saidina 'Ali r.a. pada musim haji tahun itu juga.

Selain daripada pernyataan pembatalan perjanjian damai dengan kaum musyrikin itu, maka surah ini mengandung pula pokok-pokok isi sebagai berikut:

1. Keimanan:
Allah SWT selalu menyertai hamba-hamba-Nya yang beriman; pembalasan atas amalan-amalan manusia hanya dari Allah SWT; segala sesuatu menurut sunnatullah; perlindungan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman; kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. di sisi Allah SWT.

2. Hukum-hukum:
Kewajiban menafkahkan harta; macam-macam harta dalam agama serta penggunaannya; jizyah; perjanjian dan perdamaian; kewajiban umat Islam terhadap Nabinya; sebab-sebab orang Islam melakukan perang total; beberapa dasar politik kenegaraan dan peperangan dalam Islam.

3. Kisah-kisah:
Nabi Muhammad s.a.w. dengan Abu Bakar r.a. di suatu gua di bukit Tsur ketika hijrah; perang Hunain (perang Authas atau perang Hawazin); perang Tabuk.

4. Dan lain-lain:
Sifat-sifat orang yang beriman dan tingkatan-tingkatan mereka.

Penutup:

Surah At-Taubah mengandung pernyatan pembatalan perjanjian damai oleh Nabi Muhammad s.a.w. dengan kaum musyrikin, kerana mereka tidak memenuhi syarat-syarat perjanjian damai pada perjanjian Hudaibiyyah. Selanjutnya Surah At Taubah mengandung hukum peperangan dan perdamaian, hukum kenegaraan, keadaan Nabi Muhammad s.a.w. di waktu hijrah, dan kewajiban menafkahkan harta dan orang-orang yang berhak menerimanya. Akhir surah At-Taubah ditutup dengan menyebutkan tentang risalah Nabi Muhammad s.a.w. dan hal-hal serupa disebutkan pula pada akhir surah Yunus. Surah At-Taubah menyebutkan keadaan orang-orang munafik serta menerangkan perbuatan mereka di waktu Al Quran diturunkan

FADILATNYA:-

1. Membaca Surah At Taubah akan terselamat dari kemunafiqan dan akan mencapai hakikat iman.

2. Barangsiapa membaca ayat 111 dari surah At Taubah, di kedai atau di tempat perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu.

3. Barangsiapa yang setiap harinya membaca dua ayat yang akhir dari surah At Taubah iaitu ayat 128 & 129 sebanyak 7 kali ulang sesudah solat fardu, atau sekurang-kurangnya selepas solat Subuh dan Maghrib, maka :-

a. Jika dia seorang yang lemah, maka akan menjadi kuat
b. Jika dia seorang yang hina, maka akan menjadi seorang yang mulia
c. Jika dia seorang yang kalah, maka akan segera mendapatkan pertolongan
d. Jika dia seorang yang berkesempitan, maka akan mendapat kelapangan
e. Terhindar dari sihir.
f. Jika dia seorang yang berada dalam kesusahan, maka akan hilang kesusahannya
g. Jika dia seorang yang sulit dalam penghidupan, maka akan segera mendapat kelapangan kehidupan.
h. Jika dia seorang yang berhutang, maka akan segera dapat melangsaikan hutang-hutangnya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.”
- Riwayat al-Baihaqi


4. Ayat 128 – 129 hendaklah dibaca sekali setiap selesai melakukan solat fardhu, insyaAllah orang yang mengamalkannya akan memperolehi syafaat Rasulullah s.a.w. di hari perhitungan kelak.

5. Mengamalkan ayat 128 – 129 sangat baik kesannya untuk menolak sebarang penyakit.

6. Laits bin Sa’ad r.a. meriwayatkan: Ada seorang yang patah paha dalam satu kemalangan, mendapat mimpi seseorang menyuruhnya meletakkan jarinya di atas paha yang patah itu sambil membaca ayat 129 seratus kali. Setelah orang tersebut terbangun, dia melakukan sebagaimana yang dianjurkan mimpinya. Tidak berapa lama kemudian, dia merasakan pahanya yang patah itu sudah sembuh.

7. Ayat 129 adalah doa bertawakal kepada Allah SWT supaya mencukupkan keperluan diri dan keluarga. Amalkannya ayat ini dengan membacanya tujuh kali selepas Solat Subuh dan tujuh kali selepas Solat Maghrib dengan yakin bahawa Allah SWT sahaja yang dapat memberi pertolongan. InsyaAllah, Allah SWT akan mencukupkan segala urusan dunia dan akhiratnya.

Ayat 129 ini adalah ayat pendinding.

No comments:

Post a Comment