36. SURAH YAASIIN (83 ayat) – ‘HAI MANUSIA’
DITURUNKAN DI MEKAH
Surah Yaasiin adalah surah yang ke 36, terdiri atas 83 ayat dan diturunkan selepas surah Aj- Jin. Ia dinamakan Yaasiin kerana permulaan surah tersebut dengan dua huruf iaitu Yaa dan Siin, yang ertinya hanya Allah SWT yang mengetahui. Sebagaimana halnya erti huruf-huruf abjad yang terletak pada permulaan beberapa surah Al Quran yang lain, maka demikian pula ertinya Yaasin yang terdapat pada permulaan ayat surah ini, iaitu Allah SWT mengisyaratkan bahawa sesudah huruf tersebut akan dikemukakan hal-hal yang penting antara lain: Allah SWT bersumpah dengan Al Quran bahawa Muhammad SAW benar-benar seorang rasul yang diutus-Nya kepada kaum yang belum pernah diutus kepada mereka rasul-rasul.
Surah Yaasiin adalah "Hati" Al Quran.
POKOK-POKOK ISINYA:
1. KEIMANAN: Bukti-bukti adanya hari berbangkit; Al Quran bukanlah syair; ilmu, kekuasaan dan rahmat Allah SWT; syurga dan sifat-sifat-Nya yang disediakan bagi orang-orang mukmin; mensucikan Allah SWT dari sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya; anggota badan manusia menjadi saksi pada hari kiamat atas segala perbuatannya di dunia.
2.KISAH-KISAH: Kisah utusan-utusan Nabi Isa a.s dengan penduduk Anthakiyah.
3. LAIN-LAIN: Tidak ada faedah peringatan bagi orang-orang musyrik; Allah SWT menciptakan segala sesuatu berpasang-pasangan; semua bintang-bintang di cakerawala berjalan pada orbit yang telah ditetapkan Allah SWT; ajal dan hari kiamat datangnya secara tiba- tiba; Allah SWT menghibur hati Rasulullah SAW terhadap sikap kaum musyrikin yang menyakitkan hatinya.
AMALAN TRADISI:
Surah ini mempunyai kedudukan tersendiri dalam tradisi kehidupan sebagian umat Islam. Meskipun keabsahan tradisi tersebut diperdebatkan, Surah Yaasin ini sering dibaca pada waktu-waktu tertentu seperti ketika seseorang sedang menghadapi sakratul maut, malam Jumaat, malam Nisfu Sya'ban, tahlil, dan lain sebagainya.
FADILAT SURAH YAASIIN:-
1. Membaca Yaasiin dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya akan diampunkan dosanya.
2. Sesiapa yang membaca surah Yaasiin nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali ganda membaca Al Quran seluruhnya.
3. Barangsiapa membaca surah Yaasiin, apabila sampai pada ayat :
("Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami)")
ia berdoa apa-apa yang dikehendaki, nescaya dimaqbulkan doanya.
4. Sesiapa yang menjadikan bacaan surah Yaasiin sebagai wirid amalnya pada setiap malam sehingga tiba ajalnya, nescaya ia memperolehi mati syahid.
5. Sesiapa masuk kawasan kubur dan baca surah Yaasiin (dimana pahalanya dihadiahkan kepada ahli kubur) maka sejak hari itu seksa mereka diringankan dan baginya kebaikan sejumlah penghuninya.
6. Untuk mengelakkan kanak-kanak berusia antara 5 bulan hingga 1 tahun yang baru meniarap atau merangkak dari suka makan debu atau sampah-sampah halus, pegang tangan kirinya dan bukakan tapak tangan lantas bacakan surah Yaasiin dari ayat 1-9. Kemudian sambung dengan Ayat 82-83. Dengan izin Allah, sekiranya dijadikan sebagai amalan, kanak-kanak itu akan jadi berani, hatinya kuat, tabah, mudah menerima segala ilmu serta memudahkan rohani dan jasmaninya melakukan segala kebaikan.
7. ~ Amalkan Ayat 9 untuk lindungi diri dari dianiaya.
~ Baca Ayat 9 sewaktu hendak tidur sebanyak 7 kali sebagai ikhtiar aman dan selamat dari pencuri.
“Dan Kami jadikan di hadapan mereka dinding, di belakang mereka pun dinding, maka Kami rabunkan (mata) mereka sehingga tak dapat lagi mereka melihat.”
~ Ayat 9 ini juga digunakan sebagai “Ayat Pelepas”, dibaca apabila selesai mengurut orang supaya penyakit orang itu tidak dipindahkan kepada si pengurut.
8. Baca ayat 10, 40kali selepas solat subuh dan maghrib untuk pendinding daripada perbuatan sihir.
"Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman."
9. Ayat 12 - Jantung Yaasiin. Nabi saw berharap ayat ini dihafal oleh setiap mukmin dan mukminat. Surah Yassin dibaca ketika orang sakit, semasa nazak atau sudah meninggal dunia. Baca disisi mereka dan bukannya di kubur (terutama ayat 12).
"Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata."
10. Untuk menjaga aqidah. Memberi hidayah kepada anak. Amalkan ayat-ayat 22-23.
(22)Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): "Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? (23)"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku."
11. Baca Ayat 29 untuk mengelakkan diri dari difitnah dan kejahatan mulut. Untuk mendiamkan orang yang selalu melemparkan kata-kata buruk atau tidak menyenangkan kepada kita, baca ayat ini dan tiupkan ke muka orang tersebut.
"(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi."
12. Ayat 30 untuk keinsafan – supaya dapat dipertemukan dengan Allah SWT (harus sentiasa berada dihati – beramal dengannya).
“Alangkah besarnya penyesalan hamba-hamba Allah apakala didatangi sebarang Rasul tak dapat tidak pasti mereka mendustakannya.”
13. Ayat 33-35 elok dijadikan amalan bagi sesiapa yang suka bercucuk tanam. Tanaman akan subur.
14. Amalkan Ayat 36 sebagai ikhtiar bagi yang belum berkahwin supaya dipertemukan jodoh. Caranya: Baca 7x, hembus ke tangan dan sapu pada muka setiap pagi sebelum keluar rumah. Kemudian Zikir "YA WADUD" 3x.
"Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya."
15. ~ Amalkan Ayat 58 agar akhlak atau pekerti anak-anak yang nakal, malas mengaji dan sebagainya menjadi baik, rajin dan bijaksana.
~ Sebagai pelindungan dari wabak penyakit : Ayat 58 di baca 28 kali setiap hari pada musim (wabak) penyakit melanda, insyaAllah diri terselamat daripada penyakit itu.
"(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani."
16. Ikhtiar untuk dicintai dan dikasihi orang: ambil air atau makanan, dibaca padanya Bismillah 786x dan Ayat 72 lalu diminumkan atau diberi makan kepada seseorang yang dimaksudkan.
"Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan."
17. Ayat 72 hingga 83 dan Surah Ar Rahman Ayat 21 hingga 60 adalah ayat penerang hati dan sesuai untuk diamalkan oleh pelajar atau anak-anak yang bersekolah.
18. Ayat 76 dibaca untuk mententeramkan diri jika hati rasa sedih, sebak ataupun kecewa.
"Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan."
Amalan untuk memohon hajat:-
1. Selepas sembahyang subuh
2. Tiga Jumaat berturut-turut
3. Ayat 1 - Yassin baca 7x
4. Ayat 38 - 12x
5. Ayat 58 - 7x
6. Ayat 82 - 14x
7. Habis, diulang semula step 3 hingga 6. Kesemuanya Surah Yassin dibaca sebanyak 3x.
8. Habis baca surah Yassin, baca Al- Fatihah, bacalah hajat yg dihajati dan selepas hajat dibaca semula Al- Fatihah.
9. Perlu yakin, insyaAllah dgn berkat Allah ianya termakbul. Wallahualam.
Kaifiat membaca Surah Yaasiin yang baik ialah :-
1. Hendaklah berwuduk. Istighfar 3 kali kemudian baca Al Fatihah 3 kali.
2. Membaca Selawat Nabi 11 kali
3. Membaca Surah Yaasiin.
4. Setelah selesai, bacalah Surah Al-Insyirah, Surah Al-Qadr, Surah Al-Fiil, Surah Al-Kafiruun, Surah Al- Ikhlas, Surah Al Falaq dan Surah An Nas
5. Disudahi dengan doa.
Khaifiat membaca Surah Yaasiin Malam Nisfu Syaaban:
Seeloknya Yaasiin dibaca pada malam Nisfu Syaaban kerana ia akan mendatangkan rahmat. Caranya:-
1. Waktunya selepas solat fardu Maghrib, 15 Syaaban.
2. Dibaca 3 kali berturut-turut diserta dengan niat atau doa memohon kepada Allah tiga perkara:-
a. Bacaan pertama mohon dilanjutkan usia di dalam kebajikan
b. Bacaan kedua mohon ditetapkan iman dan supaya mati kelak dalam keadaan beriman yang sempurna
c. Bacaan ketiga memohon dimurahkan rezeki yang halal lagi banyak.
Kisah Nabi saw. yang berkaitan dengan Surah Yaasiin
Kisah Pertama:-
Ketika Abu Jahal dan puak musyrikin bermesyuarat untuk membunuh Nabi saw., mereka telah mengepung rumah Nabi saw. bermula dari waktu maghrib. Ketika menjelang fajar, Nabi saw. membaca surah Yaasiin sebanyak 7 kali bermula dari ayat 1-9. Maka setelah itu, Nabi saw. keluar membuka pintu dan mendapati musuh-musuhnya tidur dengan nyenyak sekali. Sesuatu yang pelik dan menghairankan ialah iblis yang menyamar sebagai Bani Najad pun juga turut tertidur sedangkan sebelum itu ratusan ribu tahun tidak pernah tidur. Lantas Nabi s.a.w. mengambil pasir dan melempar ke atas mereka dan mereka tidur dengan lebih nyenyak lagi. Itulah pertolongan Allah SWT kepada Nabi s.a.w.
Kisah Kedua:-
Diriwayatkan dari Ibnu Al Kalbi bahawa seseorang telah terancam nyawanya oleh musuh-musuhnya. Lantas lelaki itu mengadukan halnya kepada seorang alim, maka orang alim itu menasihatkan agar dia membaca surah Yaasiin setiap kali hendak meninggalkan rumah. Lelaki tersebut melakukan apa yang dinasihatkan. Maka setiap kali dia bertemu dengan musuhnya, musuh itu gagal melihat dirinya.
Sunday, January 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment