Sunday, January 25, 2009

SURAH SABA'

34. SURAH SABA’ (54 ayat) – ‘KAUM SABA`’

DITURUNKAN DI MEKAH

Surah Saba' adalah surah yang ke-34 dan ia mengandungi 54 ayat. Ia dinamakan surah Saba' kerana kandungannya ada menceritakan tentang perihal penduduk Saba' (Yaman Tua), kisah penduduk Saba' ini diceritakan oleh Allah SWT pada ayat 15 sehingga 21.

POKOK-POKOK ISINYA:

Pada awal surah ini, Allah SWT telah menegaskan bahawa segala puji tertentu adalah bagiNya kerana Dialah Yang Menciptakan dan Menguasai Seluruh Alam, dan Dialah Yang Maha Melimpah NikmatNya dan RahmatNya kepada sekalian makhlukNya dalam alam kehidupan ini, dan Yang Maha Melimpah NikmatNya dan RahmatNya kepada orang-orang yang beriman dan taat pada hari Akhirat.

Setelah menolak fahaman kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad SAW dan yang tidak percayakan kedatangan hari Kiamat, dan setelah menerangkan keistimewaan-keistimewaan yang telah diberikan kepada Nabi-Nabi terdahulu, maka Allah Taala memberi amaran kepada golongan musyrik, sekiranya mereka masih berdegil dengan kekufurannya, mereka akan dibinasakan sebagaimana penduduk negeri Saba'(Yaman Tua) yang telah dibinasakan kerana mereka kufur ingkar.

Kemudian Allah SWT menunjukkan firmanNya kepada Nabi Muhammad SAW, dan menerangkan bahawa Baginda (Muhammad) adalah diutus kepada umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman, dan pemberi peringatan kepada orang-orang yang ingkar.

Sebagai penutup di akhir Surah ini, Allah SWT menggambarkan keadaan orang-orang yang bersalah pada hari Kiamat. Mereka kelihatan cemas takut dan gerun gementar apabila menyaksikan azab sengsara yang disediakan oleh Allah SWT untuk mereka. Semasa mereka diseret untuk menerima balasan dari Allah (atas perbuatan jahat mereka), mereka berkata "Kami sekarang beriman...." tetapi pengakuan mereka demikian tidak ada gunanya, kerana tempat beriman ialah di dunia, sedang (pada waktu itu) mereka telah terpisah dari dunia yang fana (tidak terus berkekalan) dan tidak mungkin mereka dapat kembali lagi melainkan dengan izin Allah SWT.

FADILATNYA:-

1. Membaca surah Saba’, terselamatlah pembaca dari segala bala bencana, terutamanya dari rosaknya tanam-tanaman.

2. Membaca ayat 1-2, akan bertambah rezeki dan menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur.

No comments:

Post a Comment