17. SURAH AL-ISRAK (111 ayat) – ‘MEMPERJALANKAN DI MALAM HARI
DITURUNKAN DI MEKAH
Surah Al Israa' adalah surah yang ke-17 dan mempunyai 111 ayat. Surah ini dinamai dengan Al Israa' yang bererti "memperjalankan pada waktu malam ". Surah ini berhubung dengan peristiwa Israa' Nabi Muhammad SAW di Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis (Palestin) yang dicantumkan pada ayat pertama dalam surah ini. Surah ini dinamakan pula dengan nama Surah Bani Israil berkaitan dengan percakapan pada ayat ke-2 sampai ayat ke-8 dan kemudian di akhir surah ini iaitu pada ayat 101 sampai dengan ayat 104 dimana Allah SWT menyebutkan mengenai Bani Israil yang selepas menjadi sebuah bangsa yang kuat lagi besar lalu menjadi bangsa yang terhina kerana menyimpang dari ajaran Allah S.W.T. Dikaitkan dengan kisah Israa' dengan riwayat Bani Israil pada surah ini, memberikan peringatan bahawa umat Islam akan mengalami keruntuhan seperti Bani Israil apabila meninggalkan ajaran-ajaran agama.
POKOK-POKOK ISINYA:
1. KEIMANAN: Allah SWT tidak mempunyai anak mahupun manusia ataupun malaikat; Allah SWT pasti memberi rezeki kepada manusia; Allah SWT mempunyai nama-nama yang paling baik; Al Quran adalah wahyu dan Allah SWT yang memberikan petunjuk, penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman; adanya padang Mahsyar dan hari kebangkitan.
2. HUKUM HAKAM: Larangan-larangan Allah SWT tentang penguguran anak, berzina, mempergunakan harta anak yatim kecuali dengan cara yang dibenarkan agama; bersopan melalui pertuturan, perbuatan dan adab terhadap ibu bapa. Perintah Allah SWT tentang menunaikan janji dan menyempurnakan timbangan, melakukan ibadah solat mengikut waktunya.
3. KISAH-KISAH: Kisah Israa' Nabi Muhammad SAW, beberapa kisah tentang Bani Israil.
4. LAIN-LAIN: Tanggungjawab manusia masing-masing terhadap amalan dan perbuatannya; beberapa faktor yang menyebabkan bangunnya sesuatu umat dan kehancurannya; petunjuk-petunjuk tentang adab pergaulan dengan orang tua, tetangga dan masyarakat; manusia makhluk Allah S.W.T. yang mulia akan tetapi manusia itu mempunyai kelemahan seperti suka ingkar, putus asa dan terburu-buru; serta persoalan mengenai roh.
FADILATNYA:-
1. Barangsiapa membaca surah Al-Israk ke atas air lalu diberi minum kepada orang yang bercakap gagap, insyaAllah akan hilang gagapnya.
2. Ayat 17 diamalkan untuk menyembuhkan penyakit lenguh atau sakit sendi.
"Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya."
3. Ayat 24 ialah doa anak untuk ibubapa.
"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
4. Ayat 45 & 46 dibaca pada tempat yang dihuni syaitan, atau yang dipandang menyeramkan, maka terusirlah syaitan itu. Dibaca oleh orang yang takutkan jin atau lainnya, maka hilang ketakutan itu. Baca dan tiupkan kepada orang yang mengalami ketakutan, fikiran terganggu, cemas, InsyaAllah segala sesuatu yang mengganggu fikiran itu akan lenyap.
5. Untuk menghilangkan ilmu hitam dalam tubuh, baca Ayat 45 – 46 (17x), tiupkan pada segelas air dan minum. Buat setiap hari sebelum tidur. InsyaAllah berhasil jika anda niat dan percaya sepenuh hati.
6. Ayat 45 & 46 ditulis berserta ayat 129 dari Surah At Taubah, gantungkan kepada orang yang terkena gangguan jin atau syaitan, maka dia akan segera terlepas dari gangguannya.
7. Barangsiapa membaca ayat 80, nescaya dia akan dimuliakan dan dihormati oleh orang-orang yang mengenalinya.
8. ~ Ayat 82 dibaca untuk menyembuhkan penyakit Darah Tinggi dan Diabetes.
~ Ayat 82 ini juga dapat mencegah Saka daripada hinggap kepada kita. (Ustaz Sharhan Safie - dipetik dari rancangan Tanyalah Ustaz)
"Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua."
9. Untuk memulihkan rasa sakit pada anggota badan tertentu, baca ayat 105 sambil meletakkan tangan pada bahagian yang sakit. Tiupkan 3 kali pada tempat yang sakit. InsyaAllah sakit akan hilang.
10. Jika dibaca ayat 111 sewaktu akan tidur, maka insyaAllah dalam waktu malamnya dapat terjaga dari pencurian dan selamat dari kebakaran.
“Ucapkanlah: Segala puji-pujian bagi Allah (Tuhan) yang tidak mengambil anak dan tidak ada yang menyekutui dalam kerajaan-Nya dan Dia tidak mempunyai pembantu untuk menjaga-Nya dari kehinaan dan besarkanlah Dia sebesar-besarnya.”
Friday, January 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment