2. SURAH AL BAQARAH (286 ayat) – ‘SAPI BETINA’
DITURUNKAN DI MADINAH (KECUALI AYAT 281 DITURUNKAN DI MINA)
Surah Al Baqarah ("Lembu") merupakan ayat kedua dan terpanjang yang mengandungi 286 ayat. Surah ini turun di Madinah yang sebahagian besar diturunkan pada permulaan tahun Hijrah, kecuali ayat 281 diturunkan di Mina pada Haji wada' (haji Nabi Muhammad s.a.w. yang terakhir). Di dalamnya mempunyai ayat yang terpanjang iaitu ayat 282. Surah ini dinamai Al Baqarah kerana terdapat kisah di dalamnya yang berkaitan perbalahan kaum Bani Israil dengan Nabi Musa a.s. tentang penyembelihan lembu betina untuk mengetahui siapa yang kemudiannya menjelaskan sifat kaum Yahudi yang keras hatinya. Surah ini juga dinamakan Fusthaatul-Quran (puncak Al Quran) kerana memuatkan beberapa hukum yang tidak disebutkan dalam surah yang lain. Ia juga digelar surah alif-laam-miim kerana surah ini dimulai dengan Alif-laam-miim.
POKOK-POKOK ISINYA:
Surah ini banyak mengisahkan hukum-hakam dan syariat seperti perintah mengerjakan solat; menunaikan zakat; hukum puasa; hukum haji dan umrah; hukum qisas; hal-hal yang halal dan yang haram; bernafkah di jalan Allah; hukum arak dan judi; cara menyantuni anak yatim, larangan riba; hutang piutang; nafkah dan yang berhak menerimanya; wasiat kepada dua orang ibu-bapa dan kaum kerabat; hukum sumpah; kewajiban menyampaikan amanat; sihir; hukum merosakkan masjid; hukum meubah kitab-kitab Allah; hukum haidh, 'iddah, talak, khulu', ilaa' dan hukum susuan; hukum melamar, mahar, larangan mengahwini wanita musyrik dan sebaliknya; hukum perang.
Surah ini juga ada menceritakan kisah Nabi Adam a.s., Nabi Musa a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. serta larangan akan bulan haram. Perkara utamanya adalah berdakwah kepada kaum musyrik dan Yahudi Madinah serta memberi amaran kepada mereka serta kepada kaum munafik akan ketentuan Allah kepada mereka yang tidak beriman kepada-Nya.
5 ayat pertama sering dijadikan bacaan malah dijadikan hafalan pelajar sekolah. Ayat ini menceritakan akan sifat orang yang beriman.
Surah ini juga mengandungi ayat kursi iaitu ayat yang teragung dan sering dihafal oleh masyarakat Muslim. Malah, ayat ini dijadikan bacaan untuk mendapat perlindungan dan keredhaan Allah SWT.
FADILATNYA:-
1. Ayat 1 – 5 jika ditulis dengan dakwat yang dicampuri misik za’faran air mawar, lalu dilebur air biasa dan diminum, maka insyaAllah akan memudahkan hafalan dan kefahaman seseorang.
2. Ayat 1 hingga 20 dan ayat 244 hingga 255 adalah ayat pendinding kepada sakit-sakit gangguan yang disebabkan oleh sihir manusia melalui jin, iblis dan syaitan.
3. Bacalah ayat 68-70 bila membuat pilihan dalam melihat dan meneliti sesuatu barang yang hendak dibeli, seperti haiwan ternakan, pakaian,buah-buahan, kenderaan, rumah bahkan pasangan hidup sekalipun. InsyaAllah pilihan yang dibuat itu akan tepat dan sesuai dengan keinginan orang yang memilihnya.
4. Baca ayat 71 sebelum menanam pokok buah-buahan atau sebelum memotong buah-buahan yang hendak dimakan. InsyaAllah buah-buahan itu akan terasa manis dan enak.
5. Ayat 102 diamalkan untuk mengelakkan suami/isteri dan anak-anak bergaduh.
"Tiadalah sihir mereka mendatangkan mudarat kepada seseorang jua pun, melainkan dengan izin Allah."
6. Untuk memulihkan seseorang yang dikuasai semangat jahat, baca ayat 115-118 kemudian tiupkan kepada semangkuk air dan percikkan air itu kepada pesakit. Atau bacakan ayat-ayat tersebut sebanyak 3 kali berhampiran telinganya. InsyaAllah pengaruh semangat jahat itu akan hilang.
7. Ayat 127 :-
"Ya Tuhan kami, terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Mendengar lagi Mengetahui."
dan Ayat 128 :-
"...terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Penerima taubat lagi Penyayang."
adalah doa mohon Allah SWT menerima amalan dan taubat. Diamalkan membacanya sebanyak mungkin, terutama selepas solat dan lain-lain ibadah, kerana seperti sedia maklum, amal ibadah kita belum tentu semuanya diterima oleh Allah SWT kerana berbagai syarat yang tidak kita patuhi atau lalai, terlupa dan tersilap.
8. Agar barang yang hilang ditemui semula, bacalah ayat 156 sambil mencari barang tersebut. InsyaAllah, barang yang hilang itu akan ditemui. Jika tidak, Allah SWT akan menggantikannya dengan yang lebih berharga daripadanya.
"Sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kita akan kembali pula kepada-Nya."
9. Jika melihat perangai pasangan sudah berubah kepada perangai atau akhlak yang buruk, baca ayat 165 dalam keadaan berwuduk dan tiupkan kepada makanan yang manis, kemudian makanan itu diberikan kepada pasangan. InsyaAllah sikapnya yang buruk akan bertukar menjadi baik.
".. mereka mencintainya seperti mencintai Allah. Orang yang beriman itu amat cinta kepada Allah."
10. Amalkan membaca ayat 201 setiap lepas solat dengan penuh harapan bahawa Allah SWT akan mengurniakan kebaikan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ia doa yang sebaik-baiknya bagi seorang Muslim.
"Ya Tuhan kami! Kurniakanlah kami di dunia kebajikan (nikmat) dan di akhirat kebajikan (syurga), dan peliharakanlah kami daripada azab neraka."
11. Untuk menimbulkan simpati orang yang berkuasa, baca ayat 211 sebanyak 3 kali kemudian tiupkan pada diri sendiri. Selepas itu pergilah menemuinya, insyaAllah orang yang ditemui itu akan menunjukkan simpati dan bersikap lemah lembut
12. Ayat 250 adalah doa untuk menjadi orang yang sabar.
"Wahai Tuhan kami! Tumpahkanlah rasa sabar ke dalam hati kami, dan tetapkanlah (pendirian) kami, serta bantulah kami mengalahkan kaum yang kafir itu!"
13. Ayat 286 adalah doa mohon keringanan dan kemudahan.
"Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau seksa kami jika kami terlupa atau tersalah. Ya Tuhan kami! Dan janganlah Engkau pikulkan ke atas kami beban yang berat sebagaimana yang Engkau telah pikulkan ke atas orang sebelum kami. Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau bebani kami dengan sesuatu yang tidak terdaya oleh kami. Maafkanlah kami, ampunkanlah dosa kami, dan rahmatilah kami, Engkaulah pemimpin kami, maka tolonglah kami bagi mengalahkan kaum kafir."
Saturday, January 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment