Menurut definisinya Riba Jahiliyyah adalah sebarang manfaat atau kadar tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok yang dikenakan ke atas peminjam akibat kegagalan membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan di dalam tempoh yang dipersetujui.
Hasil dari kelewatan itu pemberi pinjaman memberikan kata-dua iaitu menlangsaikan hutang sertamerta atau satu kadar bunga akan dikenakan bagi memanjangkan tempoh pembayaran semula. Kadar bunga itu boleh dianggap sebagai denda.
Riba jenis ini amat popular di zaman Jahiliyyah dan berterusan di zaman Nabi s.a.w. sehinggalah diharamkan oleh baginda Nabi s.a.w di ketika haji wida' dimana Nabi s.a.w. berkata yang bermaksud: "Ketahuilah, semua jenis riba telah dihancurkan, dan riba yang pertama aku hancurkan adalah riba yang bapa saudaraku Abbas bin Abd Muttalib, semuanya kini telah dihancurkan.
- (Riwayat Ibn Hibban, At-Tirmizi)[1]
Ayat popular yang digunakan oleh masyarakat Jahiliiyah setiap kali sampai tempoh langsaian hutang adalah :- "Sama ada kamu langsaikan hutang atau ia akan bertambah (dan diberi tangguh)".[2]
Apa yang perlu difahami adalah riba kategori duyun (terhasil dari pinjam dan hutang) yang terbentuk dari empat cara berikut :-
1) Pinjam duit dan manfaat sesuatu aset :
Apabila pemberi pinjam mensyaratkan sebarang tambahan dalam bentuk duit atau manfaat lain = Riba terbentuk.
2) Pembelian secara hutang :
Disyaratkan kiranya lambat bayar hutang (harga barang yang dibeli), akan ditambah jumlah hutangnya = Riba terbentuk.
3) Diberi pinjam barang (macam dalam contoh perpustakaan) :
Sekiranya lambat dipulangkan barang (atau buku perpustakaan, contohnya) yang dipinjam akan dikenakan denda BERBENTUK DUIT, tatkala itu = RIBA TERBENTUK, kerana buku diberi pinjam manfaatnya dan dipulangkan beserta tambahan duit. Denda.
APABILA DISYARATKAN PULA jika hutang denda lewat bayar, kos tambahan akan dikenakan = Riba kedua terbentuk.
4) Denda duit lewat dibayar :
Apabila tersalah letak kenderaan, denda BERBENTUK DUIT dikenakan, tatkala itu hutang wang terbentuk di antara Majlis Perbandaran dan pemilik kereta. Pemilik kereta dikira sedang berhutang duit kepada Majlis. Apabila disyaratkan pula jika lewat bayar hutang denda itu, jumlah akan bertambah, maka RIBA terbentuk.
Riba Al-Jahiliyyah dalam contoh semasa adalah :-
•Apabila pelanggan gagal membayar hutangnya kepada bank atau pemberi pinjam pada bulan tertentu seperti tiga bulan berturut-turut, pelanggan dikenakan denda penalti sebanyak 3% dari jumlah hutang berbakinya, ia adalah Riba Al-Jahiliyyah.
•Apabila peminjam buku di perpustakaan gagal memulangkan buku pada waktunya, pihak perpustakaan mengenakan denda RM5 setiap hari yang lewat, ini juga satu bentuk riba. Justeru, jangan sesekali lewat memulangkan buku sehingga dikenakan denda riba. Undang-undang ini turut digunakan oleh hampir seluruh perpustakaan di seluruh dunia termasuk di universiti-universiti Islam. Ini menunjukkan kekurangan peka di dalam bab hukum.
•Bagi mereka yang dikenakan saman atas kesalahan meletak kenderaan di tempat yang salah, atau lain-lain kesalahan memandu, pihak pemandu diberikan nilai saman mengikut minggu. Contohnya, jika dibayar dalam tempoh 14 hari, nilai saman adalah
RM15, jika melebihi 30 hari, nilai saman naik kepada RM40 dan seterusnya. Semua cara kiraan ini tergolong di dalam Riba Al-Jahiliyyah.
Mungkin akan ada pihak yang keliru dan mempersoalkan cara sesuai untuk mengelakkan peminjam melewatkan pembayaran dan pemulangan buku.
Topik ini telah dibincangkan panjang lebar oleh para ulama sedunia, dan pandangan yang disepakati oleh majoriti ulama sedunia hukuman yang dikenakan bagi pesalah yang sengaja melewatkan pemulangan dan segala jenis hukuman tidak ditentukan dalam bentuk matawang tetapi lain-lain bentuk seperti didenda tidak boleh memasuki perpustakaan selama dua bulan, atau dirampas passport, di senarai hitam dan sebagainya.
Jika ia melibatkan denda dalam bentuk wang, terdapat beberapa ijtihad di kalangan ulama semasa yang akan disebutkan di bawah.
[1] Hadis ini mempunyai beberapa lafaz yang lain namun dengan maksud yang sangat hampir. Dianggap sohih oleh Ibn Hibban & Ibn Khuzaimah. Syeikh Arnaout berkata : Sanadnya sohih di atas syarat imam Muslim.
[2] Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, Muhammad Bin Ahmad Al-Qurtubi, Dar al-Fikr, Syria, Jil 3, hlm 324
Ditulis Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
Saturday, January 16, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment