Sunday, January 24, 2010

Sembelihan Binatang Yang Hampir Mati

Soalan :

Apa hukumnya bagi sembelihan binatang yang hampir mati?

Jawapan:

Di antara syarat sah sembelihan ialah; binatang yang hendak disembelih itu hendaklah masih hidup. Maksud ‘masih hidup’ ialah memiliki nyawa yang tetap (hayah mustaqirrah) iaitu nyawa yang melebihi nyawa binatang yang disembelih. Tanda masih memiliki nyawa yang tetap itu ialah adanya tindak-balas selepas dilakukan sembelihan dan diyakini bahawa sembelihan memberi kesan terhadap kematiannya sama ada menyebabkan kematiannya atau mempercepatkan kematiannya (bagi binatang yang cedera, kemalangan atau sebagainya).

Tidak sah sembelihan yang dilakukan ke atas binatang yang telah mati. Begitu juga, tidak sah sembelihan ke atas binatang yang berada di hujung nyawa yang keadaannya sama seperti binatang yang telah disembelih.

Firman Allah: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (iaitu binatang yang tidak disembelih), darah, daging babi, dan binatang yang disembelih untuk selain Allah, (binatang) yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat tang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu bertenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Demikian itu adalah perbuatan fasik”.
- (al-Maidah, ayat 3)

Di dalam ayat di atas, Allah SWT mengharamkan memakan binatang tercekik, terjatuh, dipukul, ditanduk oleh binatang lain atau yang diterkam oleh binatang buas kecuali yang sempat kita sembelih ketika nyawanya masih ada.

Berkata Ibnu ‘Abbas r.a.; “Mana-mana dari binatang tersebut yang sempat kamu sembelih ketika ia masih mempunyai ruh/nyawa, maka makanlah kerana ia adalah bersih”.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Saidina ‘Ali yang berkata; “Jika binatang tersebut menggerakkan ekornya atau mengetih kakinya atau mengedip matanya (selepas kamu menyembelihnya), maka makanlah”.

Ibnu Jarir meriwayatkan juga dari Saidina ‘Ali; “Jika binatang yang tercekik, dipukul, terjatuh dan sebagainya itu sempat kamu menyembelihnya ketika ia masih menggerakkan kakinya, maka makanlah”.

Tawus dan al-Hasan juga berkata; “Binatang yang disembelih jika ia masih bergerak dengan suatu pergerakan yang menunjukkan ia masih ada nyawa pada badannya selepas disembelih, maka ia adalah halal”.

Berkata Imam Ahmad; “Jika ia menggerakkan ekornya, mengedipkan matanya dan mengalir keluar darah darinya (selepas disembelih), haruslah memakannya”.

Dari ulasan-ulasan sahabat dan ulamak ini dapatlah kita memahami dengan lebih sempurna maksud ‘memiliki nyawa yang tetap (hayah mustaqirrah)’ yang kita sebutkan tadi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Maidah, ayat 3.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, jil. 8, halaman 401-402.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment