Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya: "Pada malam terjadinya Israk dan Mikraj di Baitul Maqdis, baginda Nabi s.a.w. dihidangkan dua gelas minuman, masing-masing berisi arak dan susu. Setelah baginda meneliti kedua gelas itu, maka baginda mengambil gelas berisi susu. Berkata Jibrail: "Segala puji bagi Allah yang membimbing anda memilih yang suci. Seandainya anda memilih arak, nescaya sesatlah umatmu.”
- (Muslim)
Huraian:
Susu dan arak adalah simbolik kepada dua nikmat yang berbeza. Satunya bersifat nikmat sementara dan satu lagi bersifat nikmat yang kekal (berkhasiat pada tubuh manusia).
Sebagaimana yang ditekankan oleh ajaran Islam, arak adalah haram kerana ia memabukkan sekalipun padanya terdapat beberapa kebaikan yang lain tetapi yang nyata keburukannya telah mengatasi kebaikan. Arak mampu membuatkan manusia hilang pertimbangan dan mengheret kepada berlakunya beberapa perkara buruk seperti maksiat, pembunuhan dan sebagainya. Oleh itu orang-orang Islam ditegah sama sekali meminum arak.
Sebaliknya pada minuman susu, ia menjadi minuman yang bukan sahaja tidak memabukkan bahkan boleh mengubati penyakit. Madu dan susu merupakan minuman kegemaran Rasulullah s.a.w. Ia juga merupakan minuman yang istimewa di dalam syurga di hari akhirat kelak di samping arak di mana umat Islam yang tinggal di dalamnya dihidangkan dengan berbagai jenis makan dan minuman yang lazat, tidak memudaratkan malah belum pernah dirasai oleh manusia ketika di dunia.
Sesungguhnya keseronokan yang dinikmati di dunia itu bersifat sementara dan sedikit berbanding dengan nikmat di akhirat yang indah dan kekal abadi.
Monday, January 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment