Soalan:
Adakah membaca Yasiin pada setiap malam Jumaat merupakan amalan nabi kita atau amalan bidaah semata-mata?
Jawapan:
Hari Jumaat merupakan hari yang mulia dalam Islam. Terdapat perbagai hadis yang membuktikan kemuliaannya.
Menurut 'Aus bin 'Aus, Rasuullah s.a.w bersabda: "Hari yang paling mulia bagi kamu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam a.s diciptakan, pada hari itu dia meninggal, pada hari itu sangkakala ditiupkan dan pada hari itu juga seluruh makhluk akan jatuh pengsan (kerana tiupan sangkakala). Maka, perbanyakkan berselawat ke atasku kerana selawat kamu akan ditayangkan kepadaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami boleh ditayangkan kepadamu sedangkan engkau telah pun ditanam di bawah tanah? Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya ALLAH AZZA WA JALLA telah mengharamkan bumi memakan jasad para Nabi."
– Hadis sahih riwayat Abu Daud.
Menurut Abi Lubabah bin 'Abdi al-Munzir r.a, sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya hari Jumaat merupakan ibu segala hari dan hari yang paling besar di sisi ALLAH SWT. Ia lebih besar di sisi ALLAH daripada Aidiladha dan Aidilfitri. Ia terdapat lima ciri: Hari ALLAH Menciptakan Adam, hari ALLAH menurunkan Adam di muka bumi, hari ALLAH mewafatkan Adam, hari terjadinya kiamat dan hari di mana terdapat satu waktu sepanjang hari itu jika seorang hamba berdoa, pasti ALLAH akan mengabulkan selagi dia tidak meminta perkara yang haram. Tidak terdapat malaikat yang dekat dengan ALLAH, langit, bumi, angin, gunung, lautan melainkan kesemua itu berasa cemas terhadap hari Jumaat."
– Hadis hasan riwayat Ibn Majah.
Menurut Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w: "Hari yang paling baik bagi terbitnya matahari ialah hari Jumaat. Hari itu Nabi Adam diciptakan, hari beliau dimasukkan ke dalam syurga dan hari beliau dikeluarkan daripadanya."
– Hadis riwayat Muslim.
Juga pelbagai hadis lain berkenaan dengan kelebihan hari Jumaat. Cukuplah dengan apa yang dinyatakan di sini. Antara ibadah yang disyariatkan pada hari Jumaat ialah:
1. Solat Jumaat.
Solat Jumaat merupakan amalan fardhu yang paling dituntut dalam Islam. Ia merupakan tempat perkumpulan muslimin yang paling besar.
Firman ALLAH S.W.T: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati ALLAH (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu). Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."
- Surah al-Jumu'ah: 9.
Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana memandang remeh perkara itu, ALLAH SWT akan menutup pintu hatinya."
– Hadis sahih riwayat Abu Daud, no. 1052.
2. Memperbanyakkan doa.
Pada hari tersebut terdapat waktu di mana ALLAH akan mengkabulkan apa sahaja doa dan permintaan hamba-NYA.
Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w menyebut hari Jumaat dengan berkata: "Pada hari itu terdapat saat di mana seorang hamba yang solat dan berdoa pada ALLAH masa itu dan meminta apa sahaja, pasti ALLAH akan memberikannya. Lalu baginda menggerak-gerakkan tangannya bagi menunjukkan betapa singkatnya masa itu."
– Riwayat al-Bukhari, no. 893 dan Muslim, no. 852.
3. Membaca surah Al-Kahfi.
Menurut Abu sa'id al-Khudri r.a, sabda Rasulullah s.a.w: "Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, akan diterangkan cahaya baginya antara dua Jumaat."
– Hadis sahih riwayat al-Hakim.
4. Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi sa.w.
Ini seperti yang disebutkan dalam hadis sebelum ini yang diriwayatkan oleh 'Aus bin 'Aus.
Larangan Mengkhususkan Ibadah Tertentu Malam Jumaat
Walaupun Jumaat merupakan hari yang mulia yang disyariatkan pelbagai bentuk ibadah, namun Nabi s.a.w melarang umatnya melakukan ibadah khusus yang tidak ditetapkan oleh syarak.
Menurut Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan qiam antara hari-hari lain dan jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan berpuasa antara hari-hari lain kecuali puasa yang selalu kamu lakukan."
– Riwayat Muslim, no. 1144.
Menurut al-Shon'aani: "Hadis menunjukkan haram mengadakan ibadah khusus dan tilawah yang tidak disebutkan dalam nas syarak seperti surah a-Kahfi…"
Tidak terdapat nas yang menyebut tentang kelebihan membaca Yasiin pada malam Jumaat. Jadi, membaca Yasiin setiap Jumaat termasuk dalam hadis Nabi yang melarang mengkhususkan ibadah tertentu pada malam Jumaat. Jika surah itu dibaca tanpa mengkhususkan hari Jumaat sahaja dibolehkan.
Bacalah setiap hari sekalipun jika hanya itu sahaja surah yang mudah dibaca oleh sebilangan besar masyarakat kita. Tapi ingat, jangan mengkhususkannya pada malam Jumaat sahaja.
Juga jangan dilupakan surah-surah lain yang tidak kurang penting dan mempunyai pelbagai fadilat yang dinyatakan dalam hadis sahih. Ingatlah, al-Quran bukanlah semata-mata surah Yasiin. Janganlah sampai meminggirkan surah lain yang tidak kurang penting untuk dibaca, dihafal dan diketahui isi kandungannya.
Wallahu a’lam.
Ustazah Sakinah
Friday, January 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
terima kasih atas perkongsian ilmu..
ReplyDeletesemoga dirahmati Allah.. Amin..
Amin.
Deleteterima kasih singgah ke blog.