Soalan:
Adakah harus mengubati golongan kafir dengan bacaan-bacaan al-Quran dan doa yang ma’tsur?
Jawapan:
Al-Quran sememangnya diturunkan sebagai ubat. Para ulama tidak membezakan antara ruqyah kepada orang Islam atau orang kafir berdasarkan hadis Abu Said al-Khudri r.a. Malah, bangsa Arab yang dimaksudkan itu menurut Ibn al-Qayyim di dalam Kitab al-Madarij terdiri dari kalangan kuffar bukannya Islam.
Abu Said r.a berkata:
“Sekelompok sahabat Nabi s.a.w meneruskan perjalanan dalam satu rombongan sehinggalah berhenti di perkampungan sekelompok daripada bangsa Arab. Lalu mereka meminta izin agar dijamukan mereka semua dengan makanan sebagai tetamu. Namun, mereka menolak permintaan itu. Dalam masa yang sama, ketua kampong mereka telah digigit binatang berbisa. Puas mereka berikhtiar tetapi langsung tiada perubahan. Antara mereka berkata: Alangkah bagus jika kamu menemui kumpulan yang singgah di perkampungan kita. Mana tahu ada antara mereka yang tahu mengubatinya. Lalu seseorang menemui mereka sambil berkata: Wahai kalian semua! Ketua kami digigit binatang berbisa tetapi puas kami berikhtiar namun tidak berhasil. Apakah ada antara kamu yang tahu mengubatinya? Jawab salah seorang sahabat: Ya! Demi ALLAH aku tahu mengubatinya. Tetapi, demi ALLAH ketika kami meminta agar kamu menjamukan kami kamu semua menolak. Mana mungkin aku juga akan mengubati ketua kamu kecuali selepas kamu berjanji akan memberikan kami ganjaran! Lalu bangsa Arab itu berjanji akan memberikan sekumpulan kambing. Sahabat itu terus menuju kepada ketua kampung itu sambil membaca ‘Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin’. Lantas ketua itu bangun seperti baru terlepas dari ikatan sambil berjalan seolah-olah tidak pernah sakit. Katanya: Tunaikan janji kamu apa yang telah dijanjikan kepada mereka.”
– Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Ustaz Mohd Noor
Saturday, January 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment