Daripada Anas r.a katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: "Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita untuk mati disebabkan kerana musibah yang menimpanya. (Tetapi) Sekiranya dia tepaksa juga berbuat demikian, maka ucapkanlah(berdoalah): "Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan ini lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu adalah lebih baik bagiku'"
- (Mutafaq Alaihi- Buhkari & Muslim)
SYARAH AL-HADIS :
Hadis ini melarang kita mengharapkan atau berdoa supaya cepat mati kerana musibah atau bencana yang menimpa kita seperti sakit, kefakiran, ketakutan, atau sebab-sebab lain yang seumpama itu. Hal ini disebabkan bercita-cita supaya lekas mati boleh membawa kepada beberapa keburukan, antara lain:
1. Sikap tersebut (bercita-cita untuk lekas mati itu) menandakan bahawa orang yang berkenaan tidak reda dengan musibah yang menimpanya. Padahal kita disuruh agar banyak bersabar menghadapi cubaan Allah SWT dan berusaha untuk mengatasinya. Sedangkan bercita-cita untuk lekas mati adalah bercanggah dengan prinsip di atas.
2. Sikap demikian juga dapat melemahkan jiwa, mendorong sifat malas dan putus asa. Padahal setiap kita dituntut agar membasmi sifat-sifat negatif tersebut. Dan berusaha keras melenyapkannya atau mengurangi semampu yang boleh dengan harapan semoga usaha kita itu mendapat restu dan taufiq Allah SWT.
3. Sikap tersebut juga melambangkan kejahilan dan kebodohan orang berkenaan. Dia tidak tahu apa yang akan menimpanya setelah dia mati. Barangkali dugaannya meleset (tidak tepat), dikiranya dengan lekas mati, dia boleh terlepas daripada penderitaan, rupanya di alam sana (barzakh dan alam akhirat), dia ditunggu oleh penderitaan yang lebih dahsyat. (Semoga kita dilindungi oleh Allah SWT daripada keadaan yang demikian).
4. Sesungguhnya dengan kematian, bererti terputuslah atau berakhirlah kesempatan atau peluang seorang hamba daripada melakukan amal-amal salih yang sepatutnya ia lakukan bagi menambah bekalnya di akhirat nanti agar sisa umurnya dapat diisi dengan sesuatu yang bermakna. Dan bagaimana dia boleh bercita-cita untuk memutuskan kesempatan beramal, padahal kalaulah satu bibit amal salih itu dia tanam dalam hayatnya di sini, nescaya dia akan memungut hasilnya kelak di akhirat; lebih baik daripada dunia dan segala apa yang terdapat di dalamnya.
5. Dan yang paling merugikan ialah dengan sikap demikian, maka akan luputlah daripadanya ganjaran yang amat besar. Padahal jika dia bersabar menghadapi sesuatu ujian daripada Allah SWT, maka dia akan mendapat bermacam-macam ganjaran Allah SWT - antara lain, pengampunanan dosa, kasih sayang Allah dan ganjaran yang tidak terkira.
Firman Allah : "Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas"
- (Az-zumar:10)
Jadi atas dasar inilah maka pada akhir Hadis, baginda Rasulullah s.a.w bersabda: "(Tetapi) Sekiranya dia tepaksa juga berbuat demikian, maka ucapkanlah (berdoalah): "Ya Allah, hidupkanlah aku selagi kehidupan ini lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu adalah lebih baik bagiku"
Dalam hal ini kita disuruh agar menyerahkan perkara berhubungan dengan hidup dan mati kita kepada Allah SWT, Yang Maha Mengetahui tentang mana di antaranya yang lebih baik. DIA mengetahui kemaslahatan (kebaikan) hamba-Nya yang hamba-Nya sendiri tidak mengetahui.
Ini berbeza dengan kandungan hadis Nabi s.a.w : "Janganlah hendaknya salah seorang daripada kamu berdoa: "Ya Allah, ampunilah (dosa-dosa) ku jika engkau mahu, Ya Allah, kasihanilah aku jika Engkau mahu. Tetapi hendaklah dia memohon dengan azam yang putus".
Di dalam hadis (1) di atas, permohohan kita kepada Allah SWT bergantung erat dengan ilmu dan iradat (kehendak) Allah SWT, iaitu kita selaku hamba tidak mengetahui apalah akibatnya yang akan membawa kebaikan atau keburukan pada masa hadapan.
Adapun tentang kandungan hadis (2), adalah sudah jelas kebaikannya, kita tahu akan kepentingannya, malahan setiap insan sangat berhajat kepadanya iaitu Maghfiratullah (ampunan Allah) dan rahmat-Nya. Setiap muslim mestilah memohon kedua-duanya kepada Allah dengan azam yang putus, bukan menggantungkannya kepada kemahuan Allah. Ini kerana setiap manusia disuruh dan diwajibkan berusaha ke arah mendapatkannya. Malahan segala tenaga mestilah dicurahkan dan segala jalan mestilah ditempuh untuk membolehkannya sampai kepada maghfirah dan rahmat-Nya itu
Kebanyakan ulama mengecualikan dalam hal ini, kebolehan bercita-cita untuk mati jika khuatir ditimpa fitnah. Ini berdasarkan ucapan Maryam r.a: "Maka rasa sakit akan melahirkan anak memaksa ia (bersandar) pada pangkal pohon kurma, lalu ia berkata: "Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti, lagi dilupakan".
- (Maryam:23)
Begitu juga mereka membolehkannya atas sebab terlalu rindu kepada Allah SWT. Ini berdasarkan ucapan Nabi Yusuf a.s: "Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian sebahagian ta'bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi , Engkau Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang salih"
- [Yusuf : 101)
Imam Qatadah berkata : "Tidak seorangpun Rasul atau bukan Rasul yang bercita-cita untuk mati kecuali Nabi Yususf a.s ketika telah sempurna nikmat Allah diterimanya. Lalu beliau sangat rindu untuk menemui Allah azza wajalla.
Dalam hal ini, pendapat yang lebih kuat ialah sebenarnya Nabi Yusuf tidaklah bercita-cita untuk mati tetapi beliau hanya ingin agar mati dalam Islam ("Jika sampai ajalku, maka matikanlah aku sebagai seorang muslim.")
Adapun tentang Maryam ibu nabi Isa a.s keinginannya untuk mati itu mengandungi dua kemungkinan:
1. Beliau khuatir disangka telah melakukan perkara buruk dalam agamanya (berzina), lalu selanjutnya akan dihina.
2. Beliau khuatir kaumnya akan musnah disebabkan oleh dirinya kerana keadaan (hamil tanpa suami) boleh mendorong mereka untuk memfitnah dan menuduhnya tanpa bukti.
Saidina Umar pernah berdoa: "Ya Allah, sungguh telah lemah kekuatanku, telah lanjut usiaku dan telah tersebar luas pengikutku, oleh sebab itu matikanlah aku dalam keadaan sedang tidak mengabaikan dan melalaikan (titah perintah-Mu)"
- [Dikeluarkan oleh Imam Malik]
Saduran dari buku:
'Ke arah memahami Al-Quran dan Al-Hadis (Jilid 1)'
oleh Ustaz Dr Abdullah bin Yasin m/s 106-109.
Tuesday, January 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment