Friday, January 29, 2010

Soalan Yang Kerap Ditanya Mengenai Wasiat

ISU DOKUMEN WASIAT.

Soalan : Kenapa saya perlu menyediakan dokumen wasiat ?
Jawapan : Kerana hakikatnya semua orang akan mati. Selepas kematian kita, semua harta yang tidak mempunyai penama seperti Akaun Simpanan dan Akaun Semasa di bank, Amanah Saham Bumiputera, Akaun Lembaga Tabung Haji, tanah, rumah dan sebagainya akan dibekukan sehinggalah proses pentadbiran pusaka selesai.

Soalan : Berapa lamakah proses pentadbiran pusaka ini akan selesai dan bila pula waris-waris saya akan menerima harta saya yang terbeku ?
Jawapan : Secara purata bagi kes si mati yang tidak mempunyai dokumen wasiat, proses pentadbiran pusaka mereka akan mengambil masa di antara 3 hingga 5 tahun. Walau bagaimanapun ada juga kes pentadbiran pusaka yang mengambil masa melebihi 15 tahun untuk diselesaikan.

Soalan : Bagi si mati yang mempunyai dokumen wasiat, berapa lama pula tempoh pentadbiran pusaka akan berjalan ?
Jawapan : Secara purata, bagi kes si mati yang mempunyai dokumen wasiat pula, proses pentadbiran pusaka akan mengambil masa di antara 6 hingga 8 bulan sahaja.

Soalan : Di dalam tempoh waktu pentadbiran pusaka yang bertahun-tahun ini berjalan, apakah yang waris saya akan dapat ?
Jawapan : Waris-waris tidak akan mendapat apa-apa bahagian harta tuan kecuali harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP, Takaful dan Insuran.

Soalan : Jadi, harta yang akan dibekukan hanyalah harta yang tidak mempunyai penamaan sahaja manakala harta yang mempunyai penamaan seperti di atas akan tetap diperolehi oleh penama saya ?
Jawapan : Ya. Harta yang terbeku memang harta yang tidak mempunyai penamaan sahaja. Walau bagaimanapun, bagi harta yang mempunyai penamaan seperti KWSP, Takaful dan Insuran, tuan perlu ingat bahawa penama yang dinyatakan hanyalah bertindak sebagai Wasi sahaja dan bukan tuan punya mutlak harta tersebut . Selepas mereka menerima harta-harta tersebut mereka perlu mengagihkannya semula kepada semua waris-waris mengikut Hukum Faraid.

Soalan : Jadi apa perlunya saya menyediakan dokumen wasiat ?
Jawapan : Dokumen wasiat akan mempercepatkan proses pentadbiran pusaka dan membolehkan waris-waris tuan mendapat bahagian mereka dengan cepat manakala kalau tanpa dokumen wasiat, waris-waris tuan perlu menunggu sehingga beberapa tahun sebelum mereka mendapat bahagian mereka. Pendek kata, nasib anak-anak dan waris-waris yang lain seperti pasangan kita akan lebih terbela dengan adanya dokumen wasiat.

Soalan : Apakah perbezaan ketara yang menyebabkan proses pusaka dengan dokumen wasiat berjalan lebih cepat dari proses pusaka tanpa dokumen wasiat ?
Jawapan : Perbezaan yang paling ketara ialah kewujudan WASI bagi kes dengan dokumen wasiat. Apabila seseorang meninggal dunia tanpa dokumen wasiat, perkara pertama yang perlu dilakukan di dalam pengurusan harta pusaka ialah semua waris perlu bermuafakat untuk melantik pentadbir harta pusaka. Di sinilah sebenarnya halangan terbesar berlaku. Semua waris-waris perlu muafakat siapa yang akan dilantik sebagai pentadbir dan mereka perlu hadir di dalam mesyuarat tersebut. Jika salah seorang waris tidak bersetuju dengan pentadbir cadangan, proses ini tidak dapat dimulakan. Berlainan dengan kes yang mempunyai dokumen wasiat. Ini kerana WASI telahpun dilantik dan beliau boleh memulakan proses pentadbiran pusaka.

PROSES MEMBUAT DOKUMEN WASIAT.

Soalan : Apakah dokumen yang saya perlu kumpulkan untuk menyediakan dokumen wasiat saya ?
Jawapan : Sebenarnya, dokumen-dokumen yang perlu adalah seperti geran tanah, rumah, nombor Akaun KWSP, nombor Akaun bank, nombor Amanah Saham Bumiputera, salinan Kad Pengenalan dan Surat Beranak waris-waris. Walau bagaimanapun dokumen-dokumen ini tidak perlu disediakan segera kerana yang lebih penting lagi di dalam dokumen wasiat ialah PERLANTIKAN WASI.

Soalan : Apakah itu Wasi dan apa peranannya ?
Jawapan : Wasi ialah individu atau entiti yang kita percayai dan fungsi utamanya ialah untuk menguruskan pentadbiran harta pusaka serta menjalankan arahan-arahan lain di dalam dokumen wasiat. Contohnya AMANAH RAYA BERHAD boleh dilantik sebagai wasi di dalam dokumen wasiat.

Soalan : Jadi, sekiranya saya hendak membuat wasiat dan melantik Wasi, berapa lamakah proses itu akan berlangsung ?
Jawapan : Sekiranya tuan melantik AMANAH RAYA BERHAD sebagai wasi tuan, wasiat tuan boleh disediakan di dalam masa 3 minit sahaja !
Soalan : Secepat itu ?
Jawapan : Ya. Kerana AMANAH RAYA BERHAD mempunyai perisian penyediaan dokumen wasiat Islam yang dipanggil E-Wasiyyah dan perisian ini memudahkan penyediaan dokumen wasiat dengan cepat dan tepat di mana sahaja di seluruh dunia !

Soalan : Adakah perlantikan wasi sahaja merupakan fungsi wasiat ?
Jawapan : Tidak sekali-kali. Walaupun elemen utama di dalam dokumen wasiat ialah perlantikan wasi, perkara-perkara lain juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat seperti pengisytiharan harta sepencarian, cara pembahagian harta pusaka, perlantikan penjaga sah anak di bawah umur 18 tahun, peruntukan perbelanjaan sara hidup dan pendidikan anak, malah bagaimana cara sesuatu perniagaan akan diwariskan juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat.

Soalan : Cara pembahagian harta pusaka juga boleh dinyatakan di dalam dokumen wasiat ?
Jawapan : Ya. Pewasiat boleh menyatakan di dalam dokumen wasiatnya bagaimana hartanya boleh dibahagikan selepas kematiannya. Contohnya, pewasiat boleh menyatakan supaya harta pusakanya dibahagikan sama rata di antara anak perempuan dan lelakinya. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa sama ada arahan pembahagian harta ini boleh dilakukan ataupun tidak bergantung kepada persetujuan waris-waris. Sekiranya waris-waris tidak bersetuju dengan arahan itu, Hukum Faraid tetap akan digunapakai.

Soalan : Jadi, waris-waris boleh untuk tidak bersetuju dengan arahan cara pembahagian harta di dalam dokumen wasiat ?
Jawapan : Ya. Sekiranya mereka tidak bersetuju, Hukum Faraid akan tergunapakai tetapi sekiranya mereka bersetuju dengan arahan tersebut, formula pembahagian harta seperti yang dinyatakan di dalam dokumen wasiat itu akan digunapakai.

Soalan : Kalau arahan pembahagian itu boleh dicabar, apa gunanya saya membuat dokumen wasiat ?
Jawapan : Seperti yang dinyatakan pada awalnya, dokumen wasiat itu disediakan dengan tujuan utama untuk mempercepatkan proses pentadbiran pusaka dan ia boleh dilaksanakan dengan hanya menyatakan perlantikan wasi di dalamnya. Jika dokumen wasiat itu tidak menyatakan tentang bagaimana harta pusaka itu hendak dibahagikan, maka secara otomatik, Hukum Faraid akan digunapakai. Jadi, klausa cara pembahagian harta ini boleh ada atau tidak di dalam dokumen wasiat. Kesimpulannya, tujuan utama dokumen wasiat ialah untuk mempercepatkan proses pentadbiran pusaka dan bukannya untuk pembahagian harta.

DOKUMEN PENGISYTIHARAN HIBAH.

Soalan : Jadi, apakah instrumen terbaik untuk saya mewariskan harta sekiranya dokumen wasiat itu boleh dicabar ?
Jawapan : Sebenarnya, instrumen terbaik untuk mewariskan harta ialah Dokumen Pengisytiharan Hibah. Harta yang telah dihibahkan akan terkeluar dari harta pusaka dan secara tidak langsung tidak perlu difaraidkan.

Soalan : Apakah maksud Hibah ?
Jawapan : Hibah bererti pemberian sesuatu harta kepada penama / waris di atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan.

Soalan : Bagaimanakah mekanisme Hibah itu berjalan ?
Jawapan : Apabila seseorang ingin mewariskan sesuatu hartanya kepada waris-waris tertentu, dia perlu untuk menyediakan Dokumen Pengisytiharan Hibah dan Surat Ikatan Amanah. Walaupun perisytiharan hibah ini dibuat pada masa hidupnya, tetapi pertukaran hak milik tanah tersebut hanya akan berlaku selepas kematian penghibah.

Soalan : Jika saya sudah menghibahkan sesuatu harta kepada waris saya, bolehkan hibah itu ditarik balik ?
Jawapan : Hibah yang boleh ditarikbalik hanya melibatkan hibah yang diberi oleh seorang ayah / ibu kepada anaknya atau datuk / nenek kepada cucunya. Selain daripada hubungan itu, hubungan di dalam bentuk yang lain tidak boleh ditarikbalik. Contohnya jika seorang suami menghibahkan rumah kepada isterinya, hibah itu tidak boleh ditarikbalik. Begitu juga dengan hibah yang diberikan oleh seorang ayah angkat kepada anak angkatnya, juga tidak boleh ditarikbalik.

Soalan : Jadi, Hibah ialah dokumen terbaik yang perlu disediakan sekiranya saya ingin mewariskan sesuatu harta itu kepada waris saya ?
Jawapan : Ya, kerana apabila telah cukup segala syarat dan rukunnya, dokumen hibah tidak boleh dicabar oleh waris-waris yang lain. Contohnya sekiranya seorang suami itu menghibahkan rumahnya kepada isterinya, selepas kematiannya, rumah tersebut akan menjadi milik mutlak isterinya tanpa boleh dituntut oleh waris suami yang lain.

Soalan : Apakah jenis harta yang boleh dihibahkan dan bolehkah rumah yang masih mempunyai tanggungan pinjaman institusi kewangan boleh dihibahkan ?
Jawapan : Secara prinsipnya, semua jenis harta yang merupakan MILIK SEMPURNA pemiliknya boleh dihibahkan. Antaranya ialah rumah, tanah, bangunan, Akaun Simpanan Tetap dan sebagainya. Rumah yang masih mempunyai pinjaman bank boleh dihibahkan dengan syarat pinjaman tersebut mempunyai insuran / takaful MRTA ke atasnya. Ini kerana bagi rumah yang mempunyai MRTA, apabila si peminjam meninggal dunia, ia akan bertukar menjadi aset tetapi jika rumah tersebut tidak mempunyai MRTA, apabila si peminjam meninggal dunia, ia akan bertukar menjadi liability.

ISU AKAUN KWSP.

Soalan : KWSP pun perlu diagihkan kepada waris-waris yang lain ?
Jawapan : Ya. KWSP telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai harta pusaka bagi orang Islam. Ini bermakna, penama di dalam Akaun KWSP tersebut adalah bertindak sebagai Wasi dan Pemegang Amanah sahaja. Walaupun pembayaran akan dibuat kepada mereka, wang tersebut perlu diagihkan semula kepada semua waris yang sah dan layak mengikut Hukum Faraid.

Soalan : Saya meletakkan isteri saya sebagai penama di dalam akaun KWSP saya dan selepas kematian saya, dia mendapat wang KWSP tersebut. Apa akan berlaku sekiranya dia enggan menyerahkan wang tersebut kepada waris-waris saya yang lain seperti ibu dan bapa saya ?
Jawapan : Secara prinsipnya, wang KWSP itu adalah harta pusaka tuan seperti yang difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan isteri tuan mempunyai tanggungjawab untuk mengagihkan semula wang tersebut kepada waris-waris yang lain. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, maka waris-waris yang lain seperti ibu dan bapa tuan ada hak untuk menuntut bahagian mereka ke atas wang KWSP itu seperti bahagian yang diperuntukkan kepada mereka menurut Hukum Faraid.

No comments:

Post a Comment