HUKUM HARTA AMANAH
Soalan 1:
Saya ingin mendapatkan pandangan berkenaan hukum harta amanah dalam keadaan yang akan saya terangkan di bawah ini :-
Seorang hamba Allah yang dinamakan sebagai "G" tidak mahu harta pusakanya dibahagikan kepada salah seorang warisnya (saya namakan sebagai D) yang berhak atas sebab-sebab peribadi. Jadi, semasa hidupnya, G telah memindahmilik harta tersebut kepada "H" untuk dipegang oleh "H" sebagai amanah bagi waris-waris G yang lain, iaitu A, B dan C. Pindahmilik tersebut telah didaftarkan di pejabat tanah dan dalam geran jelas menunjukkan H sebagai penerima pindahmilik dan Pemegang Amanah kepada A,B dan C.
Soalan saya, sekiranya G meninggal dunia, adakah harta tersebut dikira termasuk dalam harta pusaka G yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraid?
Wassalam.
Jawapan:
Jika pindahmilik itu dibuat atas dasar hibah (hadiah), maka ia tidak lagi menjadi harta warisan kerana tanah itu telah menjadi milik orang lain melalui hibah itu. Adalah menjadi hak seseorang semasa hayatnya untuk menghibahkan benda/barang/tanah miliknya kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan kerelaannya (tanpa dipaksa). Cuma jika ia mempunyai tujuan tidak baik di sebalik hibah itu (antaranya untuk menafikan hak sebahagian ahli warisnya dengan sengaja apabila ia mati kelak tanpa sebab yang mengharuskan) atau berlaku pilih kasih antara anak-anak dalam hibah itu, maka ia berdosa kerana niat itu. Adapun hibahnya itu adalah sah menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafie).
PILIH KASIH ANTARA ANAK-ANAK DALAM PEMBERIAN HADIAH
Soalan 2:
Seorang bapa, sebelum ia meninggal, telah memberi hibah (hadiah) sebahagian hartanya kepada anak yang dikasihinya sedangkan ia mempunyai anak-anak yang lain. Apa pandangan Syarak tentang fenomena yang selalu berlaku ini?
Jawapan:
Sikap pilih kasih di antara anak-anak dalam pemberian (yakni samada memberi kepada anak tertentu sahaja atau melebihkan sebahagian ke atas sebahagian yang lain) adalah dilarang oleh Syarak.
Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam sebuah hadis: “Berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu”.
- (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai dari an-Nu’man bin Basyir r.a.. Menurut asy-Syaukani; para perawi hadis ini adalah tsiqah kecuali al-Mufadhdhal bin al-Mihlab di mana ia adalah shaduq. Lihat: Nailul-Autar).
An-Nu’man bin Basyir r.a. menceritakan bapanya telah membawanya bertemu Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada baginda: “Sesungguhnya aku telah menghadiahkan anakku ini seorang hamba milikku”. Lalu Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah kepada semua anak-anak kamu kamu beri hadiah serupa?”. Jawabnya; “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda kepadanya: “Ambillah kembali hadiah itu”.
- (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Ada ulamak mentafsirkan larangan di dalam hadis di atas sebagai haram, antaranya Imam Tawus, as-Sauri, Ahmad, Ishaq dan sebahagian ulamak mazhab Maliki. Bagi mereka, menyama-ratakan antara anak-anak dalam hibah atau pemberian adalah wajib. Tidak harus mengkhusus sebahagian mereka dari sebahagian yang lain atau melebihkan sebahagian atas sebahagian yang lain. Ada juga ulamak yang mentafsirkannya sebagai larangan makruh sahaja, antaranya Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.
Kesimpulannya:
Bersikap pilih kasih dalam pemberian kepada anak-anak, sekurang-kurang hukumnya adalah makruh, iaitu dibenci oleh agama. Hal ini telah menjadi ijmak para ulamak.
Jika perbuatan tersebut telah dilakukan, apakah wajib ditarik balik hibah/pemberian yang telah diberikan kepada sebahagian anak itu?
Menurut Imam Ahmad - Wajib ditarik balik hibah atau pemberian itu (yakni di sisi Imam Ahmad; hibah tersebut adalah batal).
Namun Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Malik berpandangan - Tidak wajib ditarik balik. (Rahmatul-Ummah Fi Ihktilaf al-Aimmah).
Wallahu A’lam.
Rujukan:
1. Nailul-Authar, Juz. 6, Kitab al-Hibah Wa al-Hadiyyah.
2. Rahmatul-Ummah Fi Ihktilaf al-Aimmah, Muhammad Ibn Abdirrahman ad-Dimasyqi asy-Syafi’ie, hlm. 194.
WASIAT KEPADA WARIS
Soalan 3:
Saya ada persoalan tentang arwah yang mempunyai sebidang tanah yang dikongsi oleh rakan kongsinya sama rata iaitu masing-masing misalnya 10 ekar. Arwah sebelum meninggal telah berpesan supaya bahagiannya 10 ekar itu dibahagi sama rata antara isteri pertama dan isteri kedua iaitu isteri pertama mendapat 5 ekar dan isteri kedua mendapat 5 ekar.
Sebelum arwah isteri pertama meninggal, dia berpesan supaya tanah bahagiannya diberi kepada anaknya A.
Persoalannya sekarang, anak-anak isteri kedua tidak mahu mengikut perkiraan begini dan mahu keseluruhan harta diberi antara semua anak-anak isteri pertama, isteri kedua dan anak-anak isteri kedua. Dan ini juga menjadi masalah kerana arwah berpesan dan tidak menulis wasiat.
Bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini?
Jawapan:
Di dalam satu hadis Nabi s.a.w. telah menegaskan: “Tidak ada wasiat untuk ahli waris (yakni orang yang dapat mewarisi dari si mati)”.
- Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Umamah al-Bahili r.a. (Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).
Oleh kerana isteri (sama ada seorang atau lebih) termasuk dalam senarai ahli waris (iaitu ia akan mewarisi 1/8 dari harta si mati), maka tidak harus ia menerima wasiat dari arwah (si mati). Maka harta arwah (si mati) hendaklah dibahagikan mengikut kadar yang ditetapkan oleh Syarak dalam ilmu Faraid. Adapun wasiatnya kepada dua isterinya itu hendaklah diabaikan kecuali jika mendapat persetujuan dari ahli-ahli waris yang lain, barulah dilaksanakan.
Kecualilah jika arwah (si mati) semasa hayatnya telah menghibahkan tanah tersebut kepada dua isterinya itu, maka tanah tersebut menjadi milik dua isterinya melalui akad hibah dan tidak ada hak lagi untuk ahli-ahli waris yang lain menuntutnya selepas kematian arwah kerana arwah telah menghibah (menghadiahnya) kepada orang yang dikehendakinya.
Wallahu a'lam.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Wednesday, January 13, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment