Monday, January 25, 2010

Hukum Menyambut Hari Lahir& Hari Perkahwinan

Soalan :

Saya ingin mendapat pandangan ustaz berkenaan dengan amalan menyambut hari jadi ahli keluarga dan ulang tahun perkahwinan. Apa hukumnya?

Jawapan :

Mengadakan sambutan hari lahir dan hari perkahwinan adalah harus dengan syarat tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang ditegah Syarak (yakni ditegah oleh Allah SWT dan Rasul).

Islam mengharuskan untuk kita melahirkan perasaan gembira terhadap anugerah Allah SWT kepada kita dengan sebarang cara asalkan tidak menyalahi Syari’at yang wajib kita ikuti. Sekalipun sambutan sedemikian tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w., namun itu tidak menjadi alasan untuk mengharamkannya kerana kita hanya ditegah melakukan perkara baru (yakni Bid’ah) dalam hal-hal agama. Adapun dalam hal-hal keduniaan, terserah kepada kita asalkan jangan sampai melanggari ketetapan Syari’at yang sedia ada. Islam adalah agama yang sentiasa memberi kelapangan kepada manusia.

Selain hari lahir dan hari perkahwinan, diharuskan juga kita menyambut hari-hari bersama dalam Negara dan masyarakat.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan dalam fatwanya: “…Adapun perayaan-perayaan negara seperti sambutan kemerdekaan atau penyatuan atau perayaan-perayaan kemasyarakatan seperti sambutan hari ibu, hari kanak-kanak, hari buruh, hari pemuda dan sebagainya, harus bagi seorang Muslim untuk mengucapkan tahniah (kepada orang lain) bersempena hari tersebut dan harus ia menyertainya atas dasar ia salah seorang penduduk atau pemastautin di Negara tersebut dengan syarat ia hendaklah menjauhi perkara-perkara yang diharamkan oleh Syari’at, yang berlaku semasa sambutan-sambutan tersebut”.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Baina as-Sail Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail (salah seorang ulamak al-Azhar), hlm. 325.

2. Fatawa Mu’ashirah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 3, hlm. 673.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment