Friday, January 22, 2010

Ayat Kursi Menjadi Amalan

Soalan:

Betulkah apa yang saya dengar bahawa kita tidak boleh mengamalkan membaca Ayat Kursi setiap masa? Saya menjadi keliru kerana setelah membaca buku mengenai Hikmat Ayat Kursi bahawa Rasullullah s.a.w. sentiasa membaca Ayat Kursi banyak kali agar dilindungi oleh ALLAH SWT. Ada dakwaan lain pula menyebut sekiranya kita terlalu mengamalkan ayat Kursi, kita akan mengalami kesukaran untuk mati.

Jawapan:

Tidak dapat disangkal lagi kelebihan ayat al-Kursi berbanding ayat-ayat lain. Dalam masa yang sama, terdapat juga hadis lain menyatakan kelebihan antara surah dan ayat.

Ini bermakna, masing-masing ada kelebihan sebagaimana dinyatakan oleh Nabi s.a.w sebagaimana hadis Abdullah bin Ubai bin Ka’b di dalam sahih Muslim, Abu Dzar di dalam riwayat al-Nasaai dan sebagainya. Al-Bukhari juga menyatakan tentang kelebihan ayat al-Kursi mengenai kisah jin yang mengambil makanan daripada Baitulmal.

Menurut pemahaman saya, tidak mengapa membaca ayat al-Kursi pada tempat-tempat yang disyarakkan, seperti selepas solat fardu.

Menurut Abu Umamah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesiapa membaca ayat al-Kursi di penghujung solat fardhu (selepas salam), tidak ada sesuatupun yang mampu menghalangnya untuk memasuki syurga kecuali kematian.”
- Hadis riwayat al-Nasaai dan Ibn Hibban. Sanad hadis ini sahih menurut syarat Imam al-Bukhari.

Juga harus digunakan sebagai ruqyah, iaitu mengubati orang ramai yang terkena rasukan jin. Tetapi, tidak harus mengamalkan ayat al-Kursi untuk tujuan kesyirikan seperti mengamalkannya pada hari tertentu dan jumlah tertentu semata-mata ingin mendapatkan karamah (keramat), menjadi kebal dan sebagainya.

Wallahu a’lam.

Ustaz Mohd Noor

No comments:

Post a Comment