Sunday, January 10, 2010

Penyakit Was-was

Dalam amalan/ibadah, lakukanlah mengikut yang disuruh Allah SWT dan jangan layani perasaan was-was. Agama bukan perasaan, agama adalah al-Quran dan as-Sunnah.

Jika kita telah melakukan ibadah dengan menepati rukun-rukunnya sebagaimana dituntut al-Quran dan as-Sunnah, sahlah ibadah kita dan tidak perlu kita was-was lagi. Contohnya, kita diperintahkan membasuh tangan hingga siku semasa mengambil wudhuk dan disunatkan mengulanginya tiga kali, maka kita lakukan mengikut yang diperintah itu, iaitu membasuhnya dengan meratakan air ke seluruh kawasan antara tangan dan siku itu dan mengulanginya tiga kali. Apabila itu telah kita lakukan, bertawakkallah kepada Allah SWT dan tidak perlu ada was-was lagi dengan melayani perasaan itu dan ini. Begitulah juga sikap yang perlu kita ambil dalam ibadah kita, malah dalam segenap urusan kita yang lain iaitu. Amalkan mengikut yang disuruh Syari’at dan bertawakkal kepada Allah.

Kesimpulannya, untuk mengubati penyakit was-was itu, kita hendaklah beramal mengikut ilmu, bukan mengikut perasaan atau agak-agakan sahaja. Pada masa yang sama, kita perlu sentiasa memohon perlindungan Allah SWT dari syaitan kerana syaitan itulah yang menjadi punca was-was dalam diri manusia. Tidak ada yang dapat mengusir syaitan dari kita melainkan Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT (bermaksud); “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)”
- (al-A’raf; 200-201).

Wallahu a’lam.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment