Saturday, January 16, 2010

Seringan-ringan Azab Di Neraka

Dari Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Seringan-ringan azab penduduk neraka ialah azab yang dideritai oleh Abu Talib. Dia memakai sepasang terompah yang membuatkan otaknya menggelegak.”

- (Muslim)

Huraian:

1. Selama sembilan tahun selepas perlantikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Pesuruh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW telah menjalankan dakwah di kalangan kaumnya sendiri di sekitar kota Mekah. Segelintir manusia sahaja yang telah memeluk agama Islam manakala yang lainnya mencuba dengan sedaya upaya untuk mengganggu dan menghalang baginda.

2. ABU TALIB merupakan seorang yang baik budi pekertinya, jujur dan mempunyai kesabaran yang tidak ada bandingannya bila menemui atau menghadapi sesuatu kesulitan atau cabaran hidup. Beliaulah yang memelihara Nabi s.a.w. setelah kematian datuknya Abdul Muttalib. Baginda selalu dilindungi oleh bapa saudaranya ini daripada ancaman musuh dakwah baginda. Namun begitu di saat akhir kematiannya, Abu Talib tidak memeluk agama Islam.

3. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim dikatakan bahawa ketika Abu Talib (bapa saudara Rasulullah SAW) dalam keadaan tenat, Rasulullah s.a.w. menghampirinya sedangkan ketika itu ada Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayah. Rasulullah s.a.w. mengajak Abu Talib mengucapkan "Laailaah illallaah", namun Abu Jahal dan Abdullah memujuknya agar tetap mengikuti agama Abdul Muttalib. Demikian seterusnya berlaku hingga Abu Talib meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman.

Rasulullah s.a.w. bersabda "Demi Allah, aku akan meminta ampunan daripada Allah (untuknya) selagi tidak dilarang. Lalu Allah SWT turunkan ayat surah Taubah:113-114 yang bermaksud: "Tiadalah sepatutnya bagi Nabi Muhammad dan orang-orang yang beriman meminta ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka itu adalah kaum kerabatnya, setelah jelas bagi mereka, bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam. Dan keampunan yang dipohon oleh Ibrahim untuk bapanya, tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya. Tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah maka Ibrahim berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun.”

4. Mendoakan orang kafir yang masih hidup hukumnya harus, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika berhadapan dengan perlakuan buruk dari kaumnya yang musyrik. Doa baginda: "Ya Allah tunjukkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui" dan Rasulullah juga pernah berdoa agar Umar memeluk Islam hingga akhirnya dikabulkan oleh Allah SWT.

Namun begitu mendoakan orang kafir yang telah meninggal dunia dan diketahui ia meninggal dalam keadaan kafir, hukumya haram seperti yang dijelaskan dalam ayat di atas.

No comments:

Post a Comment